Pilihanraya Kecil Hulu Selangor mengingatkan kita kepada betapa pentingnya semangat setiakawan antara orang-orang Melayu, China dan India dan kaum-kaum lain.
Hasil dari semangat setiakawan ini kita telah berjaya menubuhkan Kabinet pertama Kerajaan Perikatan 1959. Bermula dengan kabinet inilah kita berkembang maju dan mencapai tahap yang ada sekarang. Bermula dari sinilah kita dibesarkan dan kini membesarkan pula anak-anak generasi yang pernah mengamalkan semangat setiakawan. Kalau dalam ajaran Islam ia termasuk di dalam bab amar makruf.
Maka apabila DS Najib mengumumkan calon yang akan mewakili BN untuk PRK Hulu Selangor baru-baru ini, kita berasa sayu hati, hiba dan nostalgik. Masihkah kita dan generasi kini menyemai, membaja dan menyuburkan rasa setiakawan yang keramat itu. Masihkah amar makruf itu menjadi sebahagian daripada kuasa aqidah kita.
Ikuti sebuah tulisan Saudara Hamdan Rukun dari Enggor Perak yang amat relevan dengan pengumuman DS Najib yang disiarkan oleh Utusan Malaysia 9 april 2010:
Nasihat jika mahu menang
TEKI-teki siapakah calon Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor telah terjawab apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkannya sewaktu merasmikan Konvensyen BN Selangor pada 7 April 2010. Nyata MIC akan terus mewakili BN di kerusi Hulu Selangor atas semangat setiakawan yang selama ini menjadi kunci kekuatan BN.
Sebarang polemik, perbahasan dan perbincangan mengenai calon sewajarnya dihentikan serta-merta sebagai menghormati keputusan yang telah dibuat.
Pengumuman Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional mempunyai banyak makna sekiranya kita memilih untuk berfikir secara rasional dan matang.
Pertama: PM konsisten dalam mempertahankan setiakawan yang selama ini menjadi asas kekuatan dan keharmonian Barisan Nasional. Hakikatnya sikap yang sama sudah semakin luntur dalam kalangan parti komponen yang lain sekiranya keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 dan pilihan raya kecil selepasnya dijadikan kayu ukur.
PM bersedia untuk menjadi kurang popular dalam kalangan ahli UMNO sendiri sewaktu memilih untuk membuat keputusan sepenting ini. Ini juga barangkali pendidikan yang cuba PM berikan kepada kita iaitu ada ketikanya kita perlu membuat sedikit pengorbanan untuk mendapat hasil yang lebih baik di masa hadapan.
Kedua: UMNO tidak tamak dan ghairah mengejar kejayaan sendiri walaupun jelas momentum sokongan orang Melayu kepada UMNO berada pada tahap amat tinggi sekarang, sebaliknya UMNO ingin mengongsi momentum tersebut dengan semua parti komponen.
Ketiga: UMNO tidak mengambil kesempatan menghina, memperlekehkan atau menekan parti komponen sewaktu mereka menghadapi masalah dalaman, lemah dan tidak berdaya. Sebaliknya UMNO memilih untuk membantu memulih, membina dan berusaha membangunkan parti tersebut agar dapat berfungsi secara berkesan sama seperti UMNO.
Keempat: UMNO sanggup berkorban apa sahaja bagi menyuburkan semangat persetiaan murni walaupun kadangkala UMNO kelihatan agak bersendirian. Sekali lagi mari kita menyedari bahawa UMNO berada dalam situasi 'boleh menang' tetapi menyerahkan kerusi tersebut kepada MIC atas semangat ini.
Setelah memahami hakikat ini, apa pula tanggungjawab parti komponen yang lain. Saya ingin menyarankan beberapa perkara.
Pertama: Parti komponen wajib melaksanakan usaha memperkukuhkan parti. Sebarang krisis dan konflik dalaman pasti akan menjejaskan keupayaan parti memainkan peranan.
Kedua: Parti komponen wajib berusaha membantu masyarakat yang mereka wakili untuk mengkaji, menilai dan memahami Gagasan 1Malaysia dengan Perlembagaan menjadi teras pelaksanaannya. Pemahaman ini dengan sendirinya akan meredakan sebarang prasangka sesama kita.
Ketiga: Parti komponen wajib menilai, mengkaji dan memahami kesan tuntutan, resolusi atau desakan yang dibuat terhadap kerajaan dan rakan-rakan lain dalam komponen khasnya UMNO.
Keempat: Parti komponen wajib berusaha sedaya upaya mempastikan masyarakat yang mereka wakili khasnya golongan muda untuk mengundi BN sama ada dalam pilihan raya kecil ataupun pilihan raya umum.
Sekiranya semua perkara ini dapat dijalankan saya percaya Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor akan menjadi medan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional, sekali gus menjayakan Gagasan 1Malaysia.
HAMDAN RUKUN
ENGGOR, PERAK
No comments:
Post a Comment