Followers

Wednesday, April 7, 2010

NAJIB: PEMIMPIN NASIONAL BERJIWA BESAR

P94 HULU SELANGOR

Pengumuman Perdana Menteri DS Mohd Najib mengenai calon BN di PRK Hulu Selangor adalah dari Parti Komponen MIC, cukup membuktikan bahawa beliau adalah pemimpin yang berjiwa besar.

Terserlah sekali beliau amat berpandangan jauh, ikhlas dan amat jelas visi politik nasionalnya. Pastinya keputusan ini adalah keputusan bersama di kalangan pemimpin UMNO dan komponen BN yang lain.

DS Najib pasti telah mengambilkira sepenuhnya setiap aspek dan faktor yang bakal mendorong kemenangan kepada BN. Keputusan itu memantapkan lagi pendidikan politik rakyat jelata terhadap betapa pentingnya konsep perkongsian kuasa di kalangan masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan di negara ini.

Ternyata gagasan 1Malaysia adalah lanjutan konsep Perikatan dan BN yang berjaya menyatupadukan semua kaum di negara ini. Ternyata konsep itu diteruskan tanpa ragu-ragu.

Kita berharap rakyat memahami arah tuju kerajaan barisan Nasional di bawah kepimpinan DS Najib sebagai satu wadah terbaik untuk masyarakat kita.

Dengan pengumuman ini seluruh rakyat mendapat suntikan semangat baru dengan penuh yakin bahawa hanya BN yang menepati kaedah berpolitik terbaik bagi penyatuan pelbagai kaum di Malaysia. Berbanding parti pembangkang yang sentiasa membawa isu racist, menanam kebencian, memperalatkan agama, mempermainkan undang-undang dan kehakiman, menghina institusi raja dan sebagainya.

Kita yakin rakyat semakin matang dan kematangan itu akan diterjemahkan melalui undi kepada BN di PRK Ulu Selangor nanti.

1Malaysia: Pencapaian Tahap Equilibrium dalam Politik

“1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan kaum di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia” – Dato’ Seri Mohd Najib Razak

Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum dan etnik. Maka hakikatnya bahawa naluri dan denyut nadi politik Malaysia adalah berasaskan kaum. Kepelbagaian kaum dan etnik ini adalah kelebihan yang patut dipelihara dan dibanggakan, bukan dimanipulasi untuk tujuan politik sempit dengan mewujudkan tension.

Keadaan kepelbagaian etnik dan kaum yang sedia ada ini adalah struktur yang paling asas yang telah membentuk sistem bermasyarakat di Malaysia. Sejarah telah membuktikan bahawa di dalam struktur inilah setiap kaum dan etnik telah berkongsi dan bersaing di dalam satu sistem induk kenegaraan yang stabil iaitu 1Perikatan, 1BN dan kini 1Malaysia.

Amalan berkongsi dan bersaing ini adalah amat praktikal dan perlu disuburkan dari semasa ke semasa, dari generasi ke generasi. Berkongsi apa yang ada dan bersaing untuk terus maju dengan persepakatan yang mantap. UMNO berperanan menjaga kepentingan kaum Melayu dan Bumiputera, manakala MCA, MIC dan parti komponen lain menjaga kepentingan kaum masing-masing. Kesemua parti ini perlu memiliki cita-cita untuk maju dan berjaya di Malaysia. Kesemua parti juga perlu berhasrat untuk hidup bahagia dan sejahtera di tanahair ini. Maka itu tidak menghalang setiap parti untuk duduk bersama bagi menguruskan amalan perkongsian dan persaingan yang saling memberi manfaat.

Kaum Melayu dan Bumiputera tidak wajar mengharapkan kaum Cina atau India untuk memaju dan mensejahterakan mereka. Begitu juga sebaliknya. Maka dengan sebab itu kaum Melayu dan Bumiputera, kaum Cina dan India perlu berusaha mengubah nasib mereka. Untuk mencapai tujuan yang murni ini, tidak ada sebab mereka tidak boleh bermuafakat untuk berkongsi sambil berusaha untuk mencapai kemajuan.

Konsep 1Malaysia adalah formula yang terbaik. Konsep ini terbaik bukan kerana ia disebut-sebut oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib semenjak memegang kuasa kerajaan, tetapi adalah amalan kita selama ini melalui kejayaan konsep 1Perikatan dan 1BN. Selama ini kita telah mempraktikkan amalan berkongsi sumber walaupun kita tidak dapat semua. Kita juga telah mempraktikkan amalan bersaing dalam semua bidang walaupun tidak menang semua. Maka itu, gagasan 1Malaysia yang ingin diteruskan oleh PM kita amatlah sesuai dan perlu terus diutamakan. Hakikatnya bahawa kita telah berjaya selama ini kerana kita sentiasa berkongsi kuasa politik.

Bagaimanapun, perkongsian dan persaingan antara etnik dan kaum perlu ada perseimbangan. Tidak perlu dibiarkan wujud elemen saling mengatasi antara satu sama lain. Persaingan dalam konsep 1Malaysia bukan bermaksud bersaing untuk satu etnik atau kaum mengatasi yang lain. Ini disebabkan dalam konsep 1Malaysia, persaingan itu sendiri adalah suatu perkongsian.

Amalan rakyat Malaysia selama ini di bawah 1Perikatan, 1BN dan kini 1Malaysia, pada setiap masa mereka telah berkongsi ilmu, kemahiran, kemudahan, keselamatan, kebajikan, sumber dan sebagainya. Perkongsian ini memberi peluang untuk bersaing untuk terus maju. Di atas segala-galanya kita telah mulakan dengan berkongsi kuasa politik. Dengan kestabilan politik kita mampu pula merencanakan untuk berkongsi sumber kekayaan dan seterusnya prasarana sosial yang lain.

Jelasnya konsep 1Malaysia adalah kesinambungan daripada konsep 1Perikatan dan 1BN yang menjadikan kita saling lengkap melengkapi dalam proses perkongsian dan persaingan antara kaum. Bermakna kita telah mencapai satu tahap equilibrium dalam politik berbilang kaum dan etnik yang sukar diperolehi di negara lain. Dengan itu kita tidak boleh mundur ke belakang dengan mengenepikan sahaja asas-asas yang telah membina kekuatan bermasyarakat yang telah kita sama-sama bina dan pertahankan selama ini.

Bersambung...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...