SHAH ALAM 26 April - Seorang remaja lelaki, Aminulrashid Amzah berusia 15 tahun yang disyaki penjenayah mati ditembak setelah cuba merempuh anggota polis peronda ketika mahu memberkasnya di kawasan perumahan Jalan 11/2G, Seksyen 11, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi, remaja terbabit yang memandu kereta Proton Iswara, mati akibat terkena tembakan sementara rakannya berjaya melarikan diri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, sebelum kejadian, dua anggota polis peronda terserempak dengan kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan.
Penulis mengucapkan takziah kepada ibu dan keluarga arwah adik Aminulrashid yang terlibat dalam kejadian yang tidak diingini itu.
Kepada keluarganya, pasti merupakan satu kehilangan dan kesedihan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
Kepada pihak polis pula tentulah ini satu tanggungjawab yang perlu dipikul dengan sebaiknya.
Penulis cuma ingin mengambil iktibar dari peristiwa ini kerana kemungkinan besar akan berlaku lagi jika kita gagal memberi perhatian kepada perkara berikut:
1. Ketelitian dan kebijaksanaan pihak polis semasa menjalankan tugas.
Dua elemen ini sangat penting pada pasukan polis yang bersenjata untuk mengelakkan berlaku kesilapan yang didorong oleh faktor kegopohan. Dalam apa jua situasi, pihak polis yang bersenjata perlu bersikap hati-hati, tegas dan bijaksana. Kita sedia maklum bahawa telah ramai anggota polis yang menjadi korban dan mangsa penjenayah tanpa belas kasihan yang menyebakan kematian dan kecederaan semasa menjalankan tugas rasmi.
2. Peranan ibubapa terhadap anak-anak perlulah lebih tegas dan berprinsip.
Anak-anak yang akan menduduki peperiksaan awam sepatutnya sedang tidur pada jam 2 pagi. Pastikan anak-anak kita mempunyai lesen memandu dan kita memberi kebenaran memandu dengan tujuan yang pasti. Sayangkan anak dengan berasaskan emosi sahaja tidaklah mencukupi kalau tidak diiringi dengan disiplin dan prinsip keluarga berkualiti. Biasanya anak akan lakukan apa yang kita kehendaki. Pada tafsiran anak-anak, apa yang kita kehendaki itu termasuklah apa yang kita tidak larang. Maka saya menyeru semua ibubapa yang sayangkan anak-anak marilah kita kenali anak-anak kita dengan sebenarnya, bukan setakat yang kita nampak dengan mata dan yang dirasa oleh emosi.
Kepada keluarga Aminulrashid, bersabarlah dan kepada pihak polis bertenanglah. Pada saya kes ini tidak memerlukan penyelesaian, tetapi memerlukan jawapan.