Berpusu-pusu Gerombolan Pakatan Pembangkang menggunakan kes kematian Aminulrashid untuk membina persepsi supaya rakyat percaya bahawa pihak polis telah berlaku zalim, tidak adil, ganas, tidak boleh dipercayai dan berbahaya kepada orang awam.
Samalah dengan kes yang terdahulu seperti kes al-Maunah, kes Altantuya Syariibu, kes Teoh Beng Hock, yang kesemuanya digunakan untuk meningkatkan perasaan benci rakyat kepada kerajaan. Penulis yakin rakyat tidak semudah itu untuk dibodohkan apatah lagi setelah banyak kali percubaan membodohkan rakyat ini telah gagal. Sebabnya kerana kes itu tidak kena mengena dengan rakyat secara langsung, ia adalah kes terpencil.
Penulis ingin melihat kes ini dari sudut yang lebih besar dan benar-benar melibatkan diri kita sebagai ibubapa atau penjaga kepada anak-anak kita yang masih kecil atau sudah meningkat remaja. Kita terlibat sama kerana kejadian pada malam tertembaknya Aminulrashid adalah berpunca daripada kegagalan peranan keibubapaan yang sangat ketara, jelas dan perlu dipertanggungjawabkan. Kita terlibat sama kerana perkara ini akan berlaku kepada anak kita sendiri pada suatu hari nanti sekiranya gagal mengambil iktibar mulai sekarang.
Secara ringkasnya, anak-anak remaja boleh dikelaskan kepada tiga kategori, iaitu Remaja Berpotensi, Remaja Normal dan Remaja Berisiko. Personaliti Remaja Berpotensi dikenali dengan watak mereka yang berdisiplin, bercita-cita tinggi, menghargai masa, menggunakan peluang, memuliakan ibubapa dan keluarga, pandai mengurus masa, mempunyai hobi yang konsisten, tidak melanggar undang-undang/peraturan. Mereka juga sentiasa mengejar masa dan memenuhinya dengan aktiviti pelajaran dan menambah pengetahuan. Hubungan dengan ibubapa sangat akrab, genuine dan bertanggungjawab di rumah.
Remaja dari kategori Normal pula memiliki perwatakan yang bercampuraduk. Kadangkala mereka rajin dan menghampiri watak remaja yang berpotensi. Mahu belajar, pergi ke perpustakaan, buat kerja rumah dan sebagainya, tetapi tidak kekal lama. Ada kalanya mereka menjadi malas, tidak bersemangat dan tingkahlaku tidak menentu. Remaja jenis ini sekiranya mendapat dorongan dan kawalan yang betul daripada ibubapa/penjaga kemungkinan boleh berjaya atau tidak menjadi lebih negatif. Tetapi sekiranya tidak diberi perhatian, kemungkinan besar akan bertukar menjadi remaja yang berpura-pura dan berisiko.
Jenis remaja yang Berisiko pula memiliki watak yang jelas seperti tidak suka belajar, bergaduh, ponteng sekolah/kelas, inginkan kebebasan, mengejar hiburan, tidak suka peraturan, tidak mahu dikawal, rasa hero dan bangga jika dirotan atau ditangkap polis dan sangat jauh dari agama. Remaja jenis ini sangat tidak bertanggungjawab, pandai berpura-pura, sanggup menipu ibubapa, memiliki dua wajah iaitu lain di rumah lain di luar rumah. Paling dahsyat sikap yang dimiliki oleh remaja jenis ini ialah mereka tidak menghormati ibubapa dan keluarga serta tahap berpura-puranya sangat tinggi.
Faktor yang menentukan anak-anak kita tergolong ke dalam kategori Berpotensi, Normal atau Berisiko adalah hasil dari pendidikan keibubapaan yang kita amalkan semenjak mereka masih kecil dan di bawah kawalan kita sepenuhnya. Faktor yang mempengaruhi watak anak-anak ini akan bertambah dan berubah apabila mereka mula bercampur dengan orang lain dalam dunia sosialnya. Bermula dari bersekolah tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah watak mereka akan berubah.
Akhirnya lahirlah remaja yang memiliki harga diri yang tinggi, rendah atau sederhana. Remaja yang memiliki self esteem yang tinggi akan melakukan perkara-perkara yang positif, bermanfaat, bermoral, manakala remaja yang memiliki self esteem yang rendah akan melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral, anti estabshment, dan merosakkan dirnya sendiri.
Ibubapa yang ada prinsip keibubapaan, akan bersama-sama membentuk perubahan watak anak-anak ini di samping usaha yang dilakukan di sekolah dan aktiviti komuniti. Proses ini berlaku berterusan sehingga anak remaja itu telah membina personalitinya yang sebenar dan mantap
Sebaliknya pula, ibubapa yang tiada prinsip keibubapaan akan menyebabkan anak-anaknya terbiar dan membesar dengan pengaruh rakan sebaya serta alam sosial di sekelilingnya. Ketika inilah perwatakan anak itu terbina berterusan dan mengukuh sepanjang alam remajanya. Sekiranya anak itu bergaul dengan penagih dadah, maka akhirnya ia akan jadi penagih.
Selain itu, peranan ibubapa juga adalah untuk memberi dorongan dan harapan kepada anak anak supaya mereka sentiasa optimis. Motivator yang terbaik bagi seorang manusia adalah ibu, bapa atau penjaga yang paling rapat dengannya.
Anak yang baik tidak hanya pada kelakuan yang dipamerkan di hadapan kita. Anak yang baik memilki kemahiran diri seperti pandai membuat keputusan, bijak mengurus masa dan situasi, bertanggungjawab pada diri dan persekitarannya.
Apa yang berlaku pada Aminulrashid hanya ibunya sahaja yang paling mengetahui.
Apa yang berlaku kepada Gerombolan Pakatan Pembangkang, kita semua tahu mereka mahu menyuburkan perasaan benci kepada polis.